Islamic Widget

Sabtu, 10 Julai 2010

Untuk Renungan Suami / sumbangan rakan sekerja..

SUAMI MENIPU KERANA BIMBANG DIMARAHI ISTERI

ISU menipu di kalangan suami bukanlah suatu yang baru dalam kehidupan berumah tangga. Selalunya, isteri tidak sedar yang diri mereka ditipu ‘hidup-hidup’ oleh suami. Ini kerana si suami bijak bermain dengan kata-kata dan mencipta pelbagai alasan untuk meraih simpati. Tambahan pula, suami bijak berlakon untuk mengaburi mata isteri.

Percaya atau tidak, sikap suami yang gemar berbohong kepada isteri bakal mengundang musibah kepada institusi perkahwinan. Masakan tidak, jika sekali mereka berbohong, mungkin perbuatan itu akan berulang dan mengundang keseronokan dalam jangka masa panjang. Apa yang pasti, adalah tidak wajar suami berbohong kepada isteri demi melindungi perbuatan mereka.

Pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Roslan Mohamed, berkata menipu dalam Islam adalah sifat keji dan tanda bagi orang Munafik.

“Memetik hadis riwayat Bukhari dan Muslim, ada tiga tanda bagi orang Munafik, iaitu apabila berjanji dia akan mengingkari; jika bercakap, pasti dia berdusta, dan bila diberi amanah pula, akan diabaikan. Oleh itu, dapat kita lihat perbuatan menipu itu buruk kepada sesiapa saja dan tiada yang terkecuali walaupun ia dilakukan oleh suami,” katanya.

Beliau berkata, istilah ‘bohong sunat’ seakan menjadi jenama dan label yang ditonjolkan dalam masyarakat hari ini bagi menyelamatkan diri. Mereka yang mengamalkan ungkapan seperti ini seolah menghalalkan perkara yang haram.

Biasanya, suami gemar menggunakan istilah berkenaan dalam hubungan rumah tangga. Hakikatnya, istilah ‘bohong sunat’ tidak pernah ada dalam Islam kerana menipu hukumnya tetap haram.

“Menipu dalam Islam hanya diizinkan dalam tiga perkara saja dan amat terhad. Memetik Imam Ghazali dalam Mauizah Al Mukminin, penipuan hanya boleh dilakukan ketika peperangan, memulihkan hubungan persahabatan dan mendamaikan hubungan suami isteri yang bertelagah.

“Bagi menyelamatkan hubungan perkahwinan, suami wajar berbohong memandangkan perceraian adalah perkara yang tidak disukai oleh Islam. Namun, ia bukanlah satu tiket yang membolehkan suami menipu sewenangnya,” katanya.

Roslan berkata, masalah menipu adalah masalah psikologi dalaman yang dialami individu lantaran mereka dididik dengan moral yang begitu. Dalam hubungan ini, suami mungkin diajar menipu sejak kecil lagi oleh kedua ibu bapanya.

Selain itu, mereka menganggap unsur penipuan yang dilakukan menyeronokkan lantaran isteri tidak mengetahui perkara yang sebenarnya.

“Pendidikan awal daripada alam kanak-kanak penting untuk mengelak masalah penipuan ini tertanam dalam jiwa mereka. Walaupun perkara itu dianggap remeh antaranya untuk memujuk anak, cubalah elakkan. Lama kelamaan, anak-anak akan terbiasa menipu dan tingkah laku ini akan membawa sehingga mereka dewasa,” katanya.

Perbuatan isteri memeriksa dompet, telefon bimbit, baju dan diari bagi mengetahui kegiatan suami, adalah tidak wajar dilakukan. Dalam kebanyakan kes, tindakan berkenaan boleh mengeruhkan lagi hubungan rumah tangga.

Apa tidaknya, perasaan curiga akan timbul lalu menjadi punca yang membawa kepada salah faham dan penipuan lantaran suami bimbang dituduh menduakan isteri.

“Apa yang penting adalah sikap saling mempercayai dalam hubungan rumah tangga. Suami perlu menjadikan isteri mereka sebagai sahabat baik dan tidak merahsiakan sebarang perkara yang berlaku di luar pengetahuan isteri.

“Pasangan perlu mengamalkan komunikasi dua hala yang berkesan agar tidak mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan semua masalah dengan menipu. Isteri kini gemar meletakkan peratus atau angka untuk mempercayai suami. Sepatutnya, isteri perlu mempercayai suami mereka sepenuhnya.

“Namun, suami seharusnya tidak mengambil kesempatan atas kepercayaan yang diberikan. Suami perlu jujur dan amanah dalam menjaga hubungan rumah tangga dan mengikut objektif perkahwinan yang digariskan dalam Islam,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan