Islamic Widget

Khamis, 30 Jun 2011

MAK, AYAH & AKU...Catatanku...

Mak kata: “ Bersabarlah di manapun kau berada”.



Ayah kata: “Dunia ini tempat untuk bertanam – tanam, akhirat nanti barulah kita tuai hasilnya”.



Yang aku faham daripada apa yang mak dan ayah kata “Hidup ini adalah sebuah perjuangan”. Maka perlu berbekal Sabar seperti kata mak dan jadikan semuanya sebagai ladang menanam manfaat buat dituai di akhirat sebagai rahmat daripada Allah seperti kata ayah”.




Mak kata: “Amalkan Istighfar tidak kira duduk, baring, berjalan, atau sedang melakukan pekerjaan”.



Ayah kata: “Amalkan menyebut Lailahaillallah, zikirkan dalam hati. Jangan lalai daripada menyebutnya”.



Yang aku faham daripada apa yang mak dan ayah kata “Hidup ini adalah daripada Allah, kepada Allah, kerana Allah, dan untuk Allah”. Setiap saat memohon keampunan diatas keterlanjuran seperti kata mak, dan dalam masa yang sama menzahirkan rasa cinta kepada-Nya yang Maha pemurah seperti yang ayah kata.





Mak kata: “Cintailah Allah dan Rasul-Nya, cintamu tidak akan berbelah bahagi”.



Ayah kata: “Jagalah dan tegakkanlah Islam, nescaya Allah akan menjaga seluruh keperluanmu”.



Yang aku faham daripada apa yang mak dan ayah kata “Mujahadah, Jihad dan Dakwah mesti berterusan dimana dan apapun keadaannya”. Setiap langkah yang bermula dan setiap nafas pertama hendaklah untuk tiga perkara itu kalau benar cintakan Allah dan Rasul-Nya seperti kata mak, dan hendaklah menjaga niat setiap perlakuan hanya untuk menegakkan kebenaran Islam seperti kata ayah.




Mak Kata: “Belajarlah menjaga malu, kerana malu hanya satu. Sekiranya hilang, tidak akan dapat memperoleh malu yang lain”.



Ayah kata: “Jangan banyak ketawa, kerana ketawa itu mematikan hati”.



Yang aku faham daripada apa yang mak dan ayah kata “Tawadhu’ dan Zuhud itu kunci kejernihan peribadi”. Memelihara harga diri dengan berbekal malu akan mengangkat wibawa seseorang muslim seperti kata Ibu kerana orang lain tidak akan mudah memperlekeh keperibadiannya. Melalui itu juga akan terserlah rasa segan di kalangan hati orang – orang sekitarnya. Ilmunya juga akan terpelihara kerana diamnya yang bicara hanya perlu tanpa ketawa yang membuat hati jadi hitam, liat menerima cahaya hidayah serta hikmah yang memperindah peribadi seperti yang ayah maksudkan.




Mak Kata: “Sentiasalah berbuat kebaikan walaupun dibalas dengan kejahatan”.



Ayah kata: “Selalulah mengingati mati”



Yang aku faham daripada apa yang mak dan ayah kata “Lakukan yang terbaik kerana dunia adalah gelanggang ujian, dan akhirat adalah pentas keputusan, tiada yang kekal di dunia”. Tiada ruginya sekiranya setiap saat hidup ini hanya menabur kebaikan. Tiada kurangnya suatu kebaikan itu yang telah sampai kepada Allah sekalipun dibalas hinaan atau sebarang bentuk kejahatan. Apa salahnya kalau madu di balas dengan racun, bukan itu yang dipandang Allah, bukan banyak atau sedikit ringgit yang diperhitungkan Allah, tetapi kebaikan yang penuh ikhlas itu yang menjadi pemberat dipenilaian Allah walaupun sebesar zarah seperti yang dimaksudkan mak. Apa untungnya kejahatan dibalas dengan kejahatan ? Kemenangan apa yang diperolehi sekiranya kejahatan orang terhadap kita dapat dibalas dengan kejahatan ? Malah rugilah jika kebaikan yang telah disemai lalu dibalas dengan kejahatan dan kita merasa kecewa dengan kebaikan yang telah kita beri. Adakah kebaikan yang dilakukan itu “kerana manusia atau untuk mencari redha manusia ?” atau “Semata – mata mencari redha dan kasih – sayang Allah ?”. Bukankah kita akan mati, dunia mana yang adil ? Siapa yang adil di dunia ini ? Tiada yang dapat menandingi keMaha Adilan Allah yang bukan di dunia dipertontonkan, tetapi di akhirat nanti. Hari dimana semua kejahatan diperlihatkan, waktu dimana pahala memainkan peranan, saat dimana Ikhlas dan sabar menjadi payung bagi orang – orang yang ketika di dunia menabur kebaikan tanpa hitung. Itulah yang dimaksudkan ayah, ingatlah mati dan persiapkan bekal menghadapi kehidupan yang tiada penghujung. Bekal yang terbaik adalah kebaikan yang ditabur dengan penuh ikhlas seperti yang mak kata.




Mak kata: “Apabila mak telah tiada, jagalah persaudaraan kamu sesama adik- beradik”



Ayah kata: “Apabila ayah telah tiada, seluruh peninggalan ayah adalah sebagai kenangan buat kamu anak – anakku dan juga seluruh keturunanku”.



“Untuk yang ini, aku sangat faham tetapi aku sangat tidak dapat berkata apa – apa. Cuma yang menjadi renunganku, aku masih tidak mampu untuk kehilangan mereka dan seluruh pengalaman hidup yang mereka telah lalui. Seluruh kasih – sayang yang dicurahkan dan jutaan pengorbanan yang tidak terhitung tanpa ada terima kasih dariku. Jika ku berpeluang, ingin saja aku gantikan nyawaku buat mak dan ayah. Sungguh, aku tidak mampu kehilangan mereka..…”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan