Hari berganti hari, aku mula diajak-Nya berbicara tentang nikmat, aku mula merasa lega kerana ku rasa Dia mula memberi perhatian padaku. Ketika memandu ke tempat kerja, Dia membisikkan kata – kata harapan bahawa Dia sentiasa menjaga keselamatanku dan melindungiku di manapun ku berada. Ketika aku mula membaca “Bismillah”, “Dengan nama-Mu kekasihku”, Dia dengan segera membalasnya “Di sini Aku, di sini sangat dekat dengan mu”. Subahanallah hati berbunga-bunga tika cinta disambut mesra tanpa lewat sesaat.
Menyingkap tabir Qiam, ku mulakan kata maaf pada-Nya, seperti sebelumnya Dia segera menyambut tadahan doaku lalu berbisik lembut “Aku Sentiasa Memaafkan mu, apapun kesalahan juga dosamu”. Mendegarkan itu, aku tidak dapat meneruskan bacaan ayat – ayat cinta-Nya daripada kitab Suci tinggalan Rasul-Nya, merasakan Dia menyindir kecurangan ku untuk beberapa bulan lamanya. Aku terkedu, malu rasa terpukul dengan kesetiaan yang diberi-Nya. Aku tidak sesetia-Nya..tidak pernah. Namun Dia pantas memahami rajuk ku, memahami ada sedikit rasa kecil hatiku. “Berhentilah menangis, bukankah rahmat dan kasih sayang Ku meliputi luasnya langit dan bumi, lalu apa lagi yang kau perlu tangisi” pujuk-Nya. Aku tersenyum, ku sangkakan Dia benar – benar marah padaku.
Tiap langkah Rejab ini, aku bagaikan berjalan di atas awan. Cinta-Nya penuh di dada, sesak tetapi mendamaikan sehingga aku tidak merasa sakitnya hinaan daripada sekeliling. Aku menyanyikan dan menyebut – nyebut nama-Nya semahuku. Engkau Kekasih Ku..Engkau Kekasih Ku..lagi dan lagi dan lagi…Telinga ku rasakan tidak mendengar kecuali bisikan-Nya yang berulang – ulang “Dari Nikmat Ku Yang Mana Lagi Hendak Kau Dustakan”.
Rejab begitu pantas berlalu, bulan madu bersama-Nya kian berakhir. Apakah ada Rejab lagi buat ku di tahun hadapan ? Aku tetap mencintai-Mu sekalipun tiada lagi pertemuan selepas ini. Aku tidak perlu merasai nikmat pemberian-Mu sebagai bukti cinta, cukuplah Engkau bagiku..TIADA TUHAN MELAINKAN ENGKAU…Engkaulah Pencinta yang mencintai tanpa dipinta..menemani tanpa jemu…setia walau dicurangi…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan