Allah tidak memerlukan amal hamba-Nya. Dia memerintah hamba-Nya untuk beramal, tidak lain agar hamba itu mengakui bahawa dirinya lemah (i'tiraf) dan selalu memerlukan pertolongan Allah. Pengakuan semacam ini sangat penting. Diceritakan bahawa ada dua roh disiksa di neraka. Allah kemudian memerintahkan agar keduanya dikeluarkan. Setelah keluar, Allah bertanya kepada mereka,
"Apakah yang menyebabkan kalian masuk neraka?"
"Nafsu kami," jawab mereka.
"Bukankah telah Ku larang kalian bermaksiat kepada-Ku? Bukankah Aku telah mengutus rasul-rasul-Ku dengan bukti-bukti nyata? Dan bukankah telah-Ku katakan melalui lisan para ulama bahawa sesiapa yang taat akan memperoleh syurga, istana, wildan dan bidadari, sedang orang yang bermaksiat akan tinggal di neraka bersama Qarun, Firaun dan Haman?"
"Benar, tetapi kami tidak taat dan selalu bermaksiat kepada-Mu."
"Kembalilah kalian ke neraka, dan rasakanlah siksa-Ku," perintah Allah.
Roh yang satu bergegas kembali, namun roh yang lain berjalan dengan enggan sambil sesekali menoleh ke belakang.
"Mengapa kamu berjalan cepat-cepat?" tanya Allah kepada roh yang pertama.
"Ya Tuhan, dahulu aku selalu membangkang perintah-Mu, sekarang sudah seharusnya aku taat kepada-Mu."
“Dan kamu, mengapa kamu tidak segera kembali ke neraka?" tanya Allah kepada roh kedua. "Aku sangat mengharap ampunan-Mu, kerana mustahil Engkau akan mengembalikan kami ke neraka setelah membebaskan kami darinya."
"Masuklah kalian berdua ke dalam syurga. Masuklah, kerana kamu telah mentaati perintah-Ku. Dan masuklah, kerana kamu percaya pada rahmat dan kemurahan-Ku."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan