Islamic Widget

Selasa, 29 November 2011

BAHAYA PENUBUHAN IFC ?

PENUBUHAN IFC

1. Apakah Interfaith Commision (IFC)?

IFC yang nama asalnya ialah IRC - Inter Religous Council (IRC) adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. Badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.

2. Siapakah yang mencadangkan penubuhan IFC?

IFC digagaskan penubuhannya oleh Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) atau pun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos, 2001. Presiden MCCBCHS ialah V. Harcharan Singh.

3. Siapakah yang paling bersemangat sekali menyokong penubuhan IFC?

Majlis Peguam terutamanya Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia amat kuat menyokong penubuhan IFC dan amat berharap ia akan berjaya. Kronologinya seperti berikut:

* Pada 8 Ogos, 2001, Majlis Peguam telah menerima satu memorandum daripada MCCBCHS mengenai perkara ini dan selepas itu ide penubuhan IRC berjalan dengan lancar.

* Pada 10 Disember, 2001, Majlis Peguam menganjurkan forum mengenai 'Kebebasan Beragama' dan menerbitkan jurnal khas bernama INSAF.

* Pada 8 Disember, 2001 satu perayaan 'Festival of Rights' diadakan dengan tema 'Kebebasan Beragama'.

* Pada 17 Mac, 2003 bengkel untuk menimbang keperluan wujudnya IRC diadakan. Bengkel ini gagal apabila kesemua NGO Islam menarik diri daripada terlibat dengan penubuhan suruhanjaya ini iaitu ABIM, ACCIN, JUST dan Sisters In Islam5 termasuk Dr Chandra Muzaffar yang menjadi antara orang awal yang mencadangkan dialog antara kepercayaan. Bagaimana pun Sisters In Islam kemudian menyertai semula dan menyokong penubuhan suruhanjaya ini.

* Pada pertengahan tahun 2004, satu persidangan mengenai penubuhan IRC diadakan. Bagi menunjukkan wujudnya sokongan, penganjur seminar telah melantik kesemua ahli Jawatankuasa Kecil Syariah Majlis Peguam sebagai ahli jawatankuasa penganjur tanpa pengetahuan mereka.

* Mengemukakan draf ketiga undang-undang penubuhan IFC bertarikh Januari 2005 kepada persidangan cadangan penubuhan IFC.

4. Apakah matlamat penubuhan IFC?

Matlamat IFC ialah untuk meminda beberapa ajaran asas Islam yang bakal merugikan orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang-orang bukan Islam.

5. Apakah tuntutan orang-orang bukan Islam yang dibuat melalui IFC?

1. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.

4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pesakanya selepas kematiannya.

8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid. Kerajaan juga perlu membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam tanpa perlu adanya peraturan-peraturan tertentu.

9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

10. Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

6. Apakah bahayanya penubuhan IFC terhadap Islam?

Berdasarkan draf undang-undang penubuhan IFC, suruhanjaya ini jika ditubuhkan amat berbahaya kepada Islam dari sudut:

1. Membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal ehwal agama Islam.

IFC jelas sebuah suruhanjaya anti Islam. Ini adalah campurtangan orang bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam. Hak perlembagaan bagi mengamalkan agama sendiri (Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan - Freedom of religion (Kebebasan beragama) tidak berlanjutan kepada mempersoalkan agama lain dan tidak sampai menuntut ajaran agama orang lain dipinda semata-mata untuk disesuaikan dengan kepentingan sendiri. Orang-orang bukan Islam berhak untuk menuntut hak mereka mengamalkan agama sendiri tetapi tidak sampai mempersoalkan dan campurtangan urusan agama Islam. Campurtangan ini amat bahaya. Perkara yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diselesaikan oleh mereka yang berkelayakan di dalam Islam sendiri.

2. Menjadikan undang-undang Allah mesti tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta oleh manusia yang menjejaskan aqidah.

Norma-norma antarabangsa tersebut ialah:

* Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948

* Konvensyen untuk menghapuskan semua jenis diskriminasi terhadap wanita (disahkan oleh Malaysia pada 5 Julai 1995)

* Konvensyen mengenai hak kanak-kanak.

* Deklarasi untuk menghapuskan semua bentuk ketidaktoleransi dan diskriminasi berasaskan agama.

* Deklarasi mengenai hak-hak orang untuk mempunyai kewargaan, sukukaum, agama dan bahasa minoriti.

* Deklarasi Vienna dan plan tindakan.

Kesemua norma antarabangsa tersebut belum disahkan oleh Malaysia kecuali yang dinyatakan sebaliknya. IFC menuntut supaya agama mestilah mengikut ketentuan norma antarabangsa di atas. Norma antarabangsa tersebut tidak membezakan antara orang Islam dan bukan Islam. Bagi orang Islam, peraturan untuk kehidupan mereka bukan lagi Islam tetapi norma-norma antarabangsa tersebut yang dicipta oleh manusia. Apa sahaja ajaran Islam yang bertentangan dengan norma antarabangsa hendaklah dihapuskan. Ini bermaksud, Allah mesti tunduk kepada norma antarabangsa. Ini menjejaskan aqidah seorang Muslim.

3. Orang Islam bebas melakukan apa sahaja

Manusia adalah bebas. Begitu juga orang Islam adalah bebas. Mereka bebas melakukan apa sahaja termasuk mengamalkan ajaran agama lain tetapi masih boleh mengaku sebagai seorang Muslim atas nama kebebasan beragama. Kebebasan agama ini dijamin oleh norma antarabangsa di atas.

4. Orang Islam bebas untuk murtad

Deklarasi sejagat mengenai hak asasi manusia menyatakan 'setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, suara hati dan agama. Ini termasuk kebebasan menukar agama....(artikel 18)'. Ini bermaksud status sebagai seorang Muslim bukan ditentukan oleh Tuhan tetapi ditentukan oleh manusia. Berdasarkan norma antarabangsa, Islam tidak berhak menghalang penganutnya keluar daripada Islam kerana itu dibenarkan oleh norma antarabangsa.

5. IFC berhak menentukan status agama seseorang.

Seseorang yang ingin murtad boleh mengemukakan permohonannya kepada IFC. Permohonannya akan ditentukan oleh ahli-ahli IFC yang diantaranya adalah bukan Islam. Ini adalah campurtangan yang amat nyata dalam hal ehwal agama Islam. Jabatan Pendaftaran Negara tidak berhak menolak permohonan seseorang untuk menukar nama daripada nama Islam kepada bukan Islam dengan alasan suatu percubaan untuk murtad. Jika permohonan ditolak ini menjejaskan keharmonian dan kebebasan beragama. Perkara ini terkandung di dalam seksyen 19(3) draf undang-undang IFC.

7. Apakah sikap kita?

Menentang sekeras-kerasnya penubuhan IFC. Kita sanggup mati demi agama kita. Penubuhannya bukan sekadar perlu ditangguhkan, tetapi jangan sama sekali dibenarkan. Semua saluran perlu digunakan untuk menghalang penubuhan IFC.

Ahad, 27 November 2011

JALINAN KASIH SAYANG NABI & PARA SAHABAT

Oleh TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT

Rasulullah s.a.w. meninggalkan kota Makkah dalam suasana dihambat oleh rasa kebencian dan permusuhan sebahagian besar penduduknya. Berbeza dengan ketibaan Nabi s.a.w. di Madinah, baginda disambut oleh penduduknya yang ramah mesra dengan perasaan kasih sayang. sifat mahabbah penduduk Madinah menjadi penawar hati baginda yang tercalar oleh sikap permusuhan dan kebencian penduduk Makkah terhadap baginda.

Sayang dan benci, dua sifat perasaan yang bertentangan, kedua-duanya merupakan naluri insan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sekalipun ia bertentangan antara keduanya, namun ia tetap memberi manfaat kepada manusia. Ada sayang yang memberi manfaat dan boleh mendatangkan pahala atau dosa, kebencian juga begitu, memberi manfaat kepada manusia dan kadangkala mendatangkan bencana dan dosa. Sayang kena pada tempatnya akan mendatangkan kebajikan dan pahala, sebaliknya kebencian yang kena pada tempatnya juga mendatangkan kebajikan dan pahala.

Kebencian penduduk Makkah terhadap Nabi s.a.w. merupakan tindakan yang tidak kena dan melampaui batas, lebih-lebih lagi terhadap insan yang sebaik Muhammad s.a.w., seorang yang dilantik oleh Allah SWT sebagai Nabi dan utusan-Nya di muka bumi ini. Kebencian penduduk Makkah terhadap Nabi s.a.w. sememangnya tidak berasas, ia bukan saja mendatangkan kesukaran terhadap mangsanya malah bagaikan menempa petaka dalam kehidupan mereka di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Penduduk Madinah telah meletakkan rasa hormat dan kasih sayang tepat pada tempatnya, iaitu terhadap Nabi dan Rasulullah. Seorang yang dipilih dan di asuh secara langsung oleh Allah SWT, untuk memikul tanggungjawab memimpin manusia ke arah kebenaran yang bersumberkan wahyu Ilahi.

Justeru itu, apabila penduduk Madinah mendapat tahu bahawa Nabi s.a.w. yang paling mereka sayangi telah tiba di Madinah, maka mereka keluar beramai-ramai menyambut ketibaan seorang yang paling dimuliakan dengan nasyid-nasyid dan syair-syair yang memuji-muji Nabi s.a.w.. "Tola'al Badru 'Alaina, Min tsaniyyatil Wada'ei, Wajabasy Syukru 'Alaina, Mada'a Lillahi Da'ei" Mereka menyifatkan Nabi s.a.w. ibarat bulan purnama yang menerangi kehidupan mereka di Madinah, justeru itu wajiblah mereka bersyukur ke atas Allah SWT yang memperkenankan harapan mereka.

Puji-pujian yang terbit dari hati murni penduduk Madinah, bukanlah suatu lakonan, seperti lakonan umat di zaman mutakhir yang mengadakan perarakan menyambut perayaan Maulidur Rasul, pada ketika yang sama mereka tidak menghargai langsung syariat dan hukum-hakam yang dibawa oleh Nabi s.a.w.. Lidah mereka memuji Nabi s.a.w., pada masa yang sama mereka tetap mengagungkan undang-undang Barat. Bernasyid di majlis sambutan Maulidur Rasul sekadar tradisi atau budaya, bukan sebagaimana penduduk Madinah yang merasa amat bersyukur dengan ketibaan Nabi s.a.w. yang menerangi hidup mereka dengan syariat Islam.

Sikap yang ditunjukkan oleh penduduk Madinah yang dikenali sebagai kaum 'Ansar', mendedahkan kasih sayang mereka terhadap Nabi s.a.w. begitu mendalam, melimpah dari hati penduduk Madinah sama ada lelaki atau perempuan semua peringkat umur. Mereka sanggup menunggu ketibaan Nabi s.a.w. sejak pagi hingga di tengah panas terik tengah hari. Selepas itu mereka pulang dan berazam untuk berdiri semula di tepi jalan pada keesokan harinya, bagi menunggu lagi ketibaan orang yang dikasihi Nabi Muhammad s.a.w..

Sebaik saja mereka melihat dari kejauhan ketibaan Nabi s.a.w. yang ditemani oleh Abu Bakar, maka kata-kata sanjungan terhambur dari lidah mereka bergema memenuhi ruang angkasa Madinah kerana terlalu gembira dapat menatap wajah Nabi s.a.w.. Sebaliknya Nabi s.a.w. juga sangat menyayangi kaum Ansar Madinah, seimbang dengan kasih sayang yang telah ditunjukkan oleh mereka.

Banyak bukti yang menunjukkan para sahabat dari kalangan Ansar sangat menyayangi Nabi s.a.w., ia dapat dilihat sejak pertama kali penduduk Madinah menemui Nabi s.a.w. semasa menunaikan haji. Mereka telah mengadakan bai'ah untuk mengikat kesetiaan, untuk mempertahankan Nabi s.a.w. sekiranya terdapat ancaman dari musuh, ketika Nabi s.a.w. telah sampai ke Madinah kelak. Mereka akan pertahankan Nabi sebagaimana mereka mempertahan kaum keluarga mereka sendiri dari ancaman musuh.

Sebaik saja Nabi s.a.w. sampai ke Quba, penduduk madinah berebut-rebut mempelawa Nabi singgah dan menginap di rumah mereka. Seorang sahabat dari kalangan Ansar iaitu Abu Ayub yang merasa amat bertuah apabila unta Nabi berhenti didepan rumahnya. Abu Ayub dan isterinya amat bersyukur kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan tetamu ke rumahnya seorang Nabi yang agung. Rasa sayang dan hormat Abu Ayub sekeluarga terhadap tetamu agungnya itu dapat dilihat melalui cara Abu Ayub meraikannya. Beliau memiliki rumah dua tingkat, Nabi s.a.w. tetamu agungnya itu ditempatkan ditingkat atas. Beliau berbuat demikian kerana merasa tidak wajar tetamu yang mulia itu seolah-olah ditempatkan di bawah tapak kakinya.

Abu Ayub dan keluarganya makan lebihan makanan yang dihidangkan kepada Nabi s.a.w.. Selain ingin mendapatkan keberkatan dari baki makanan yang telah disentuh oleh Nabi s.a.w., tetapi Abu Ayub juga melakukannya atas dorongan perasaan kasih terhadap Nabi s.a.w. yang sangat dimuliakan.

Banyak riwayat mengenai para sahabat yang berebut-rebut mendapatkan air dari basuhan wudhuk Nabi s.a.w., sehingga tiada air wudhuk baginda titis ke bumi kerana tangan para sahabat begitu rapat menyambutnya.

Ketika Nabi bermalam di rumah seorang muslimah bernama Ummi Sulaim, cuaca agak panas menyebabkan keringat baginda mengalir ke tikar yang dibuat dari kulit. Ummu Sulaim telah mengambil keringat baginda dan disapu ke tubuhnya untuk mendapat keberkatan di samping dorongan kasih sayang terhadap Nabi s.a.w..

Kalau begitulah keadaannya bertawasul dengan kesannya yang berbentuk benda, sedangkan Nabi s.a.w. tidak menghalangnya, maka yang demikian itu bererti mengambil berkat dari Nabi s.a.w., adalah suatu yang tidak bercanggah dengan Islam. Bagaimanapun untuk mendapatkan suatu keberkatan selain dari Nabi s.a.w., maka perlulah diperhati dan diteliti benar-benar keadaan orang yang diambil keberkatannya itu seorang yang soleh dan warak. Jika tidak, dikhuatiri ia akan menjadi suatu budaya yang berbentuk khurafat, atau kemungkinan terpedaya dengan orang yang berlagak soleh dan warak. Ada pihak yang mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh para sahabat itu hanya bersifat 'tabarruk' (mengambil berkat) semata-mata, dan bukannya 'tawasul'. Sebenarnya tabarruk dan tawasul itu dua kalimah yang berbeza tetapi dari segi istilahnya adalah sama. Di mana ada keharusan bertawasul atas perkara-perkara yang berhubung dengan Nabi s.a.w., maka di sana terdapat tabarruk iaitu keberkatan.

Sama ada tawasul dengan kebesaran Nabi s.a.w. atau dengan kesan-kesan Nabi (seperti air wudhuk dan peluh Nabi dan kain baju Nabi), ini adalah merupakan bahagian-bahagian tertentu yang termasuk dalam erti kata tawasul. Justeru tabarruk atau tawasul terhadap Nabi suatu yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam, dalilnya Nabi s.a.w. tidak melarang apa yang dilakukan oleh para sahabat, sedangkan ia berlaku di depan mata Nabi s.a.w. sendiri.

Ucapan Menarik Golongan Munafik





















( Oleh LUTPI MUSTAFA Universiti al-Azhar )

Orang-orang munafiq memang menarik ucapan lidah mereka, segala bicara dan ungkapan yang dikeluarkan daripada cakap-cakap mereka itu boleh menarik minat para pendengar dan juga boleh menarik perhatian orang ramai untuk bersama-sama dengan mereka dalam satu barisan.Mereka mempunyai pelbagai idea untuk didedahkan dan dijadikan suatu isu semata-mata untuk menarik perhatian umum.

Orang-orang munafiq juga mempunyai program atau rancangan hidup mereka tersendiri yang digariskan menurut hawa nafsu dan tidak pula berpandukan kepada Syariat Ilahi. Walaupun kebanyakan ungkapan-ungkapan yang dikeluarkan menyatakan hasrat mereka untuk berkompromibersama-sama dengan orang-orang Islam dalam satu angkatan, tetapi bicara itu cuma olok-olok sahaja.

Apabila mereka kembali kepada "syaitan-syaitan" mereka yang menjadi teman rapat lalu mereka menyatakan hasrat sebenar di hati mereka bahawa ungkapan-ungkapan yang mereka nyatakan untuk bersama-sama dengan orang beriman adalah palsu belaka. Allah Taala menggunakan perkataan syaitan dalam uslub firman-Nya yang bermaksud:

Apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka. Dan ini adalah suatu uslub yang dibicarakan oleh Allah Taala terhadap mereka yang melakukan kejahatan di atas bumi bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka dan di samping memberi penghinaan terhadap kerja-kerja yangmereka lakukan.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Di antara manusia ada yang sungguh menarik perkataannya apabila berbicara tentang kehidupan di dunia, Allah menyaksikan apa yangterkandung di dalam hatinya, sedangkan mereka adalah musuh yang paling keras. Apabila mereka berjalan di atas bumi, mereka melakukan kerosakan dengan membinasakan tanaman dan ternakan, padahal Allah tidak suka kepada kerosakan." (Surah al-Baqarah: 204-205).

Ayat ini diturunkan kepada Al Akhnas bin Syuraiq As Thaqafi dari keturunan Bani Zahrah. Beliau datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dan mengiklankan keislamannya di hadapan baginda. Bicara perkataan yang diucapkannya di hadapan Rasulullah s.a.w. sungguh menarik dan sungguh menakjubkan baginda s.a.w. seolah-olah beliau benar-benar inginkan cahaya petunjuk untuk menyinari kehidupannya dan untuk dijadikan pedoman kepada laluan jalan kehidupannya seharian.

Di antara ucapannya ialah yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku datang (kepadamu wahai Muhammad) kerana mahukan Islam dan Allahmengetahui sesungguhnya aku adalah benar."Tetapi, apabila ia pergi meninggalkan Rasulullah s.a.w. lalu ia masuk ke kebun-kebun yang dimiliki oleh orang-orang Islam dan merosakkannya serta membakar tanaman mereka dan kemudian Allah menurunkan firman-Nya sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi yang bermaksud:

"Apabila mereka berjalan di atas bumi, mereka merosakkan tanaman dan ternakan, sedangkan Allah tidak menyukai kerosakan."

Ayat yang difirmankan oleh Allah Taala itu terlalu jelas untuk difahami maksud isi kandungannya dan huraian pengertiannya dan demikianlah bahawa Allah Taala tidak sekali-kali suka kepada kerosakan yang berlaku di atas dunia ini akibat dari perbuatan tangan-tangan manusia yang durjana terhadap harta benda termasuk tanaman dan ternakan, sebagaimana yang telah dilakukan oleh musuh-musuh-Nya semata-mata bertujuan untuk memusnahkan ajaran Islam daripada menjadi anutan manusia dan daripada ianya terus tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Sifat ketiga Melakukan tipu daya

Tipu daya yang dilakukan oleh golongan munafiqin adalah untuk memusnahkan harapaorang-orang Islam supaya mereka meninggalkan semua sekali segala rupa bentuk manhaj Ilahi danbangun memberontak menentang manhaj yang bercanggah dengan ideologi ciptaan mereka.

Di kalangan orang-orang Islam yang lemah keimanannya akan mudah terpedaya dan merasa akur terhadap tindakan barisan munafiqin yang sedemikian rupa, sebaliknya mereka yang mempunyai keimanan yang kukuh dan aqidah yang tidak berbelah bagi akan menutup mulut-mulut golongan tersebut daripada bercakap dan melontarkan sebarang tipu daya serta dakyah yang boleh memecah belahkan integrasi umat Islam sejagat.

Memang menjadi kenyataan, bahawa golongan munafiqin mengambil teori jahiliyyah sebagai panduan hidup dan sebagai sebuah ideologi anutan setelah dicampur-adukkan dengan pelbagai unsur, termasuk dari peranan hawa nafsu mereka dan juga unsur-unsur kekafiran. Justeru itu, mereka yang berkompromi dalam agen tersebut, sekalipun tidak menjadi rakan kongsi mereka atau tidak menjadi pengikut setia mereka sepenuh masa, cuma hanya memberi saham dalam kerja-kerja mereka, aqidah tetap akan menjadi punah ranah walaupun hanya memberi saham, kerana itu semua adalah dilarang oleh Allah.

Saham yang diberikan itu melayakkan diri mereka untuk dihumbankan ke ceruk neraka jahanam yang menjadi bahan pembakarnya ialah golongan munafiqin dan kafirin. Mereka semua adalah golongan yang sesat dan menyesatkan, justeru tidak mahu menerima petunjuk yang datang dari Ilahi. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, tetapi mereka menipu diri mereka

sendiri, sedangkan mereka tidak sedar. Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan lagi kepada mereka penyakit, bagi mereka azab yang pedih disebabkan mereka

berdusta."(Surah Al-Baqarah: 9-10).

Keangkuhan manusia yang tidak mahu menterjemahkan nilai-nilai akhlaknya dan pekerti hidupnya supaya bertepatan dengan nilai-nilai akhlak dan pekerti hidup Islam atau juga tidak mahu menterjemahkan program kehidupannya supaya bersesuaian dengan program kehidupan Islam adalah disebabkan oleh penyakit yang tertanam di dalam lubuk hati mereka dan ianya tidak boleh diubati oleh mana-mana pakar perubatan moden hari ini.

Seolah-olah gejala penyakit yang merebak ke dalam tubuh badannya tidak lagi boleh dipisahkan atau diasingkan di antara satu sama lain daripada terus melekat di dalam kehidupannya, tetapi yang anehnya mereka tidak menyedari langsung gejala penyakit yang merebak ke dalam tubuh badannya. Dengan wujudnya penyakit itu, ia cuba memainkan peranan menipu Allah dan juga orang-orang beriman, mereka menyangka bahawa perbuatan itu dapat meraih hasil kejayaan dan tercapailah hasrat impiannya untuk memusnahkan Islam dari anutan manusia sejagat, tetapi perbuatan itu hanyalah untuk menipu dirinya sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Allah Taala berfirman lagi yang bermaksud:

"Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka menyatakan: "Kami beriman!" Dan setelah mereka berada sesama mereka lalu mereka berkata: "Mengapa kamu khabarkan kepada mereka (orang-orang Islam) apa yang dibukakan Allah kepada kita? Kerana nanti mereka akan mengalahkan kita dengan itu di sisi Tuhan? Tidakkah kamu berfikir?" (Surah

al-Baqarah: 76).

Ketika Nabi s.a.w berada di daerah Bani Quraizah dan berdiri di tepi perkampungan mereka, baginda s.a.w melaung suara memanggil mereka yang bermaksud:

"Wahai kawanan kera dan babi, wahai hamba thaghut." Apabila mereka mendengar teriakan

Rasulullah s.a.w. yang memanggil mereka kera dan babi, lalu mereka bertanya yang bermaksud:

"Siapakah yang memberitahu kepada Muhamad tentang perkara ini? Kalimah-kalimah itu tidak keluar dari Muhamad kecuali kamu yang memberitahu kepadanya.

"Rupa-rupanya mereka tidak mengetahui bahawa Allah Taala itu Maha Mengetahui terhadap apa yang mereka sembunyikan dan Dia menyampaikan segala apa sahaja rahsia-rahsia yang mereka sembunyikan itu kepada Rasul utusan-Nya sebagai suatu amaran kepada musuh-musuh Allah supaya jangan lagi melakukan tipu daya kepada Rasul-Nya dan juga para sahabatnya yang berjuang menegakkan kalimah Allah. Sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang munafiq yang bersikap cuba melakukan tipu daya kepada para pejuang Islam, tetapi sebenarnya Allah Taala telah menipu mereka pula. Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang munafiq itu menipu Allah sedangkan Allah menipu mereka pula." (Surah An-Nisa': 14).